Saturday, April 08, 2006

KETAHANAN JIWA UNTUKMU MUSLIMAH

MUSLIMAH adalah hiasan dunia. Seindah hiasan adalah Muslimah Solehah. Muslimah sinonim dengan kelembutan budi pekerti dan sopan santun yang pasti memikat sesiapa yang melihatnya. Kelembutan muslimah bukan sebarang lembut, kehalusan budi bicaranya sesekali bisa menyengat. Ketahanan jiwa yang dimiliki oleh seseorang muslimah sering menjadi perbandingan kepada kaum lelaki. Jika kita melihat Muslimah yang ditimpa musibah atau sebagainya, ketabahan hatinya untuk meneruskan kehidupan, lebih jelas dan bersinar. Usaha gigihnya membuktikan keyakinan diri. Dalam menjalani kehidupan ini, Muslimah perlu melalui banyak latihan jiwa supaya dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai srikandi Islam dengan baik. Maka memiliki ketahanan dan kekuatan jiwa amatlah diperlukan sebagai penguat kepada benteng yang telah ada, lantas melahirkan Muslimah yang berjiwa besar dan memiliki nilai diri yang tinggi.

Bukanlah satu perkara yang mudah untuk membentuk dan memiliki jiwa yang kental sekiranya tiada latihan dan keutuhan Iman kepada Allah s.w.t. Kerana dengan adanya Iman yang utuh bisa memudahkan langkah-langkah pentarbiahan dan jalan-jalan menuju kejayaan. Dengan Iman juga, Muslimah mempercayai syurga dan neraka. Setiap amalan pasti ada ganjaran dan pembalasan. Muslimah akan berhati-hati agar tidak terjerumus ke tempat yang membinasakan diri dan Iman. Dan sentiasa berusaha ke arah keredhaan-Nya.

Menyingkap satu kisah Ummu Kalthum binti Ali, isteri Umar r.a ketika beliau telah membangkitkan kemarahan Umar dalam urusan rumah tangga mereka.

Pada suatu hari, Umar berkata, "Aku akan merunsingkanmu."

Beliau lalu menjawab, "Kamu tidakkan mampu berbuat demikian. Kebahagiaanku terletak pada Imanku, dan Imanku terletak pada hatiku dan tiada siapa yang berkuasa ke atas hatiku melainkan Tuhanku."

Bagaimanakah agaknya, sekiranya kita berada di tempat Ummul Kalthum? Mampukah kita menghadapi setiap ujian dan permasalahan dengan akal yang waras dan dibimbing dengan panduan Iman? Apakah kita mudah melatah, terus meradang, hilang punca dan arah tujuan? Atau sebaliknya, kita tetap menghadapi dugaan itu dan merasai tiada siapa yang mampu berkuasa atas hati kita melainkan Allah s.w.t. Dan setiap kesulitan pasti dibantu oleh-Nya dan pengharapan terletak hanya kepada-Nya Yang Esa.

Timbul lagi satu persoalan, bagaimanakah sangkaan kita kepada Allah s.w.t ketika kita tersepit dengan masalah? Sedangkan pada masa itu kita dalam kekalutan jiwa, hati berkecamuk, resah dan terbeban. Lalu, apakah takdir yang dipersalahkan atau merasakan ketidakadilan Tuhan terhadap diri? Seterusnya, bertalu-talu perkara yang tidak sepatutnya menghurungi jiwa, pemikiran dan benak hati. Melayani tazyinusyaitan iaitu mainan syaitan dalam diri. Lidah merungut-rungut lantas terlepaslah kalam yang keji lantaran nafsu menguasai diri. Lalu, membuatkan masalah baru pula timbul. Jadi, bertimpa-timpalah lagi bebanan dan konflik. Jiwa terus dalam keresahan, putus asa, makan hati berulam jantung dan merasakan kematian itu adalah lebih baik buat dirinya. Malah, lebih dahsyat lagi sekiranya sanggup bertindak di luar batasan manusia yang berfikiran waras.

Selamilah kata-kata 'hidup mesti belajar susah'. Tentu membuatkan pembaca tertanya, bukan? Mengapa perlu belajar susah, sedangkan kita semua inginkan kesenangan dan kemudahan. Sedarilah, di sebalik kalimah 'belajar susah' terselit seribu ketenangan dan kebahagiaan. Kerana di situ, akan melahirkan pemilik jiwa bersifat rasa syukur, rasa cukup apa yang ada dan memanfaatkan apa yang dimiliki sebaiknya. Malah, mengajar bijak berhadapan dengan masalah. Kerana yakin hikmah Allah s.w.t serta jiwa sentiasa bersedia menghadapi onak duri denagn wajar dan positif.

Harapan saya kepada pembaca muslimah budiman, kita terpundak dengan tanggungjawab lebih besar untuk Ummah yang dikasihi. Bersiap sedialah untuk melalui tugas yang mana kita berhadapan dengan tekanan pengkhianat kepada agama suci Islam. Latihan jiwa diteruskan agar kita terus tetap teguh dan berterusan dalam memastikan Ummah yang mulia ini peroleh kemenangan. Jangan tertipu dengan kemewahan dan igauan kesenangan. Tiada masa untuk kita berfantasi. Kitalah yang bergelar wanita muslimah, gadis, isteri, ibu dan nenek. Penentu baik buruknya masa depan Islam. Wanita umpama seketul hati di dalam tubuh badan. Sekiranya elok hatinya, eloklah jasadnya. Begitulah, sekiranya eloknya wanita itu, moleklah satu bangsa. Pastikan peranan kita mengikut posisi kita berada. Kita adalah sebahagian dari penjuru Islam. Pastikan Islam tidak dimusnahkan melalui penjuru kita.

Peliharalah jiwa. Kerana ketahanannya, memainkan peranan yang amat besar dalam mencorakkan kehidupan.